‘Cintaku hingga ke hujung nyawa’

“WAJAH adik saya berseri-seri ketika majlis akad nikah berlangsung biarpun dia sedang nazak menanggung kesakitan akibat kanser tisu tahap akhir,”€ kata Shukur Yusuf, 30, abang kepada Allahyarham Fatin Nursyahirah, 24, yang meninggal dunia semalam, selepas tidak sampai 24 jam bergelar pengantin baru.

Kisah Fatin Nursyahirah atau lebih mesra dengan panggilan kakak dalam kalangan keluarganya tular semalam selepas suaminya, Mohamad Saiful Azzam Mohmed, 25, sanggup menikahi gadis itu yang sedang nazak dan terbaring di atas katil.

Syukur menunjukkan gambar kenangan pertunangan adiknya, Fatin Nursyahirah dan Mohamad Saiful. FOTO Amran Hamid
Menurut Shukur, adiknya yang dipanggil kakak dalam keluarga sudah seminggu terlantar akibat lumpuh daripada pinggang ke kaki selain keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

“€œKeluarga saya bersetuju mempercepatkan pernikahan mereka lebih awal daripada yang sepatutnya pada 18 Ogos ini.

“Ketika majlis pernikahan mereka kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, hanya ahli keluarga terdekat dan imam yang bertindak sebagai jurunikah sahaja yang ada.

“€œKami menunaikan hasrat arwah berkahwin selepas melihat keadaannya semakin lemah dan pernikahan ini juga bagi memudahkan Mohamad Saiful Azzam menjaga kakak, namun kira-kira jam 3 petang, kakak mula sesak nafas dan kami terpaksa membawanya ke Hospital Jitra,”€ katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mahsuri di sini, hari ini.

Shukur berkata semasa di hospital, dia dan kedua ibu bapanya serta Azzam tidak berhenti membaca al-Quran dan surah Yassin sehinggalah adiknya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

Katanya, Mohamad Saiful Azzam adalah insan yang baik hati dan menunaikan janjinya untuk menjaga adiknya sehingga akhir hayatnya.

Menyingkap mengenai perkenalan mereka, Syukur berkata pasangan itu mula berkenalan pada 2013 selepas mereka bertemu di tapak Pesta Pulau Pinang ketika Mohamad Saiful Azzam sedang menjual aiskrim sebagai latihan amali pengajiannya di sebuah kolej.

“€œAdik saya ketika itu bersama rakannya ke pesta berkenaan, apabila adik saya lalu Mohamad Saiful Azzam memberinya aiskrim secara percuma dan selepas itu mereka terputus hubungan sehinggalah berjumpa semula melalui media sosial pada 2015.

“€œPada saat itulah mereka mula rapat sehinggalah pada 17 Jun lalu, iaitu pada hari raya ketiga mereka mengikat tali pertunangan.

“Selepas bertunang mereka sibuk membeli pelbagai barang sebagai persiapan untuk berkahwin termasuklah pada dua minggu lalu, mereka ke butik untuk mengukur baju pengantin,”€ katanya yang juga anak ketiga daripada lima adik beradik.

Menurut Shukur lagi, dia sanggat terharu dengan pengorbanan yang dilakukan Mohamad Saiful Azzam sejak adiknya disahkan mengidap kanser pada Ramadan tahun lalu.

Katanya, adik iparnya itu seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sanggup datang dari Gombak, Selangor, setiap minggu sejak sebulan lalu, semata-mata untuk melihat keadaan tunangnya.

“€œBukan itu saja, sejak mendapat tahu kakak mengidap kanser, keluarga suaminya turut membantu membawanya mendapatkan rawatan dan membeli ubat-ubatan.

“€œMalah Mohamad Saiful Azzam turut memberi semangat kepada adik saya yang masih mengikuti pengajian tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Geografi di Universiti Malaya,” katanya.

Shukur menyifatkan kehilangan adiknya sebagai satu pemergian besar untuk keluarga mereka kerana wanita itu seorang yang periang dan peramah selain tidak suka menunjukkan kesakitan yang ditanggungnya.

Jenazah Fatin Nursyahirah yang juga anak keempat, selamat dikebumikan pada jam 2 petang semalam di Tanah Perkuburan Taman Mahsuri.

Ketika wartawan berkunjung ke rumah arwah hari ini, difahamkan Mohamad Saiful Azzam dan keluarganya baharu saja berangkat pulang ke Gombak.

sumber : hmetro online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*